• Call us: 09-774 7200
  • info@ktd.edu.my

“DATANG DENGAN INSPIRASI, PULANG UNTUK BERBAKTI”

Search Courses

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Alhamdulillah, setinggi-tinggi pujian ke hadhrat Allah swt yang telah melimpahkan pelbagai kenikmatan yang tidak terhitung kepada kita semua. Selawat dan salam untuk Rasulullah saw, para sahabat, para pengikut sahabat mereka yang meneruskan usaha menyampaikan dan menegakkan sistem cara hidup Islam sehingga ke hari kiamat.

Pertamanya, saya ucapkan selamat datang kepada semua pelajar baru dan juga ibu-bapa pelajar ke Kolej Teknologi Darulnaim atau KTD. Saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelajar dan ibu-bapa kerana memilih KTD sebagai institusi pengajian tinggi untuk melanjutkan pengajian selepas SPM.

Hasrat KTD ialah untuk melahirkan graduan yang cemerlang daripada segi akademik, mempunyai akhlak yang mulia dan sedia berkhidmat untuk masyarakat dan negara. Hasrat KTD ini diungkapkan dalam slogan KTD iaitu “Ngaji biar pandai, akhlak biar juruh, hidup boleh tumpang.”

Para pelajar dan ibu-bapa yang saya hormati

Mungkin ini pengalaman baru bagi kita semua untuk melaksanakan proses pendaftaran dan seterusnya aktiviti minggu silaturrahim secara on-line. Sebelum ini, saluran internet merupakan saluran alternatif dan digunakan jika perlu sahaja. Namun demikian, pandemik covid-19 telah menjadikan saluran internet sebagai saluran wajib dan tidak dapat dielakkan.

Sehubungan dengan itu, banyak implikasi sama ada implikasi positif yang menambah baik perkhidmatan atau implikasi negatif yang perlu ditangani supaya tidak menjadi punca kegagalan sesuatu perkhidmatan. Dalam konteks kita ialah perkhidmatan pengajaran dan pembelajaran atau P&P.

Implikasi proses P&P secara online

Implikasi paling besar tentunya terhadap pelajar. Pelajar akan tetap berada di rumah dan tidak perlu datang ke bilik kuliah di kampus selagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkuat-kuasa. Ertinya, pelajar bebas untuk berada di mana-mana sahaja dan tidak perlu berada di dalam bilik kuliah dan duduk mendengar di hadapan pensyarah. Impilkasinya, pelajar boleh melakukan apa sahaja semasa kuliah tanpa diketahui oleh pensyarah.

Sehubungan dengan perkara di atas, pelajar perlu mempunyai disiplin diri-sendiri (self-discipline) yang tinggi untuk mengikuti kuliah secara fokus dan berkesan. Displin diri-sendiri bermakna melakukan sesuatu perkara yang sepatutnya dilakukan pada masa yang dijadualkan. Semua aktiviti dan perlaksanaan kelas secara on-line akan dijadualkan dan dimaklumkan kepada pelajar.

Selain daripada disiplin diri-sendiri, saya ingin tekankan pentingnya pelajar mempunyai cita-cita masa depan yang jelas dan yang bernilai tinggi.

Contoh cita-cita yang jelas ialah untuk menjadi seorang usahawan dalam bidang penjualan secara on-line. Kita tahu hampir segala jenis produk dijual secara on-line pada hari ini. Produk tersebut termasuk pelbagai jenis makanan, barangan kesihatan, buku, pakaian, barangan elektrik, dan bamyak lagi.

Selain berjaya dalam kerjaya, cita-cita yang jelas termasuk keinginan untuk memberi sumbangan bakti kepada masyarakat. Sumbangan bakti terhadap masyarakat termasuk membantu meningkatkan taraf ekonomi, meningkatkan taraf pendidikan dan seterusnya yang lebih penting untuk membawa masyarakat ke arah menghayati islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap dengan sempurna.

Ini bermakna, pelajar perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan kepakaran yang mencukupi, bukan sahaja daripada segi akademik tetapi juga daripada sudut kemahiran hidup, kemahiran insaniah dan yang lebih besar kefahaman dan penghayatan Islam sebagai satu cara hidup.

Ringkasnya, cita-cita yang jelas perlu mempunyai dua komponen utama iaitu ASPEK KERJAYA dan SUMBANGAN TERHADAP MASYARAKAT.

Peranan Ibu-bapa

Seperti yang saya telah nyatakan, P&P secara on-line adalah perkara baru dan kita sama-sama belajar. Oleh sebab itu, saya mengharapkan ibu-bapa turut sama dalam mempelajari perkara baru ini.

Ada beberapa peranan yang boleh dimainkan oleh ibu-bapa pelajar. Peranan pertama ibu-bapa ialah membantu pelajar dari aspek teknikal seperti keperluan peralatan dan akses kepada talian internet.

Pihak kolej sedar, walaupun sebahagian besar pelajar mempunyai gajet seperti telefon bimbit yang sesuai untuk P&P secara on-line, tetapi mungkin terdapat sebahagian pelajar yang tidak mampu untuk memilikinya. Begitu juga dengan akses talian internet dan jumlah data yang diperlukan.

Pihak kolej akan sama-sama membantu di mana yang boleh dalam soal teknikal tersebut.

Peranan kedua ibu-bapa ialah daripada segi pemantauan dan kaunseling. Pelajar biasanya bersemangat di peringkat awal dan setelah beberapa lama mungkin semangat tersebut akan mula berkurangan. Oleh sebab itu, peranan ibu-bapa sangat penting dalam memberikan nasihat dan teguran.

Kita semua memahami bahawa di samping aspek yang bermanfaat, internet juga telah mendatangkan cabaran yang besar kepada anak-anak kita. Antara cabaran yang besar ialah games dan aplikasi yang seumpamanya. Games telah menjadi satu budaya bukan sahaja di kalangan remaja malah di kalangan semua peringkat umur. Banyak masa yang terbuang kerana leka dengan games tersebut.

Kelekaan dengan games dan gajet hanya akan dapat diatasi apabila pelajar mempunyai cita-cita yang jelas dan disiplin-diri yang tinggi. Perkara inilah yang perlu sentiasa diingatkan oleh ibu-bapa dalam memastikan supaya pelajar fokus terhadap pengajian yang diikuti dan masa depan mereka.

Para pelajar dan ibu bapa yang saya sanjungi

Sempena dengan pendaftaran pelajar baru, saya ingin mengingatkan para pelajar baru untuk memulakan era baru di KTD dengan niat yang betul. Niat ini sangat besar pengaruhnya dalam menentukan sama ada cita-cita kita yang jelas tadi bernilai atau tidak bernilai.

Rasulullah saw telah bersabda semasa baginda dan para sahabat sedang berhijrah dari Makkah ke Madinah, “Hanyasanya amal itu dengan apa yang diniatkan, maka dengan itu, hanyasanya setiap urusan itu dengan apa yang diniatkan, sesiapa yang berhijrah untuk Allah dan Rasul, maka hijrahnya untuk Allah dan Rasul, dan sesiapa yang berhijrah untuk dunia yang diinginkan atau wanita yang ingin dkahwini, maka hijrahnya untuk apa yang dia berhijrah.”

Hadis di atas mengingatkan para sahabat tentang pentingnya niat sewaktu dalam perjalanan berhijrah. Rasulullah saw ingatkan bahawa niat yang betul hendaklah semata-mata kerana Allah dan Rasul. Dengan kata lain, niat mereka berhijrah hendalah kerana membantu dakwah Islam yang menghadapi halangan di Makkah. Sepatutnya tidak ada niat lain sewaktu berhijrah. Barulah hijrah tadi diterima sebagai amalan yang diterima Allah swt dan akan mendapat ganjaran di akhirat nanti.

Begitulah juga dengan niat pelajar baru di KTD. Semestinya niat datang ke KTD ialah untuk mencapai cita-cita yang jelas kerana Allah swt. Kita cemerlang dalam akademik, kita berjaya dalam kerjaya dan kita berbakti kepada masyarakat, semuanya kerana Allah swt.

Insyaallah dengan cita-cita yang jelas, disiplin diri-sendiri dan niat kerana Alalh, seseorang pelajar akan berjaya dalam erti kata yang sebenarnya.

“Datang dengan inspirasi, pulang untuk berbakti”

Sekian terima kasih.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dr Abdul Hakim bin Mohammed

Ketua Eksekutif