• Call us: 09-774 7200
  • info@ktd.edu.my

PUASA UNTUK BERTAQWA

Search Courses

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Alhamdulillah kita dipertemukan dengan bulan Ramadhan al-Mubarak. Ramadhan adalah bulan diturunkan Al-Qur’an. Ramadhan adalah bulan di dalamnya ada satu malam iaitu Lailatul Qadr. Ramadhan juga adalah bulan latihan untuk kita meningkatkan taqwa.

Sebenarnya, apa yang penting ialah untuk kita memahami tujuan berpuasa iaitu taqwa. Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 183: yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”.

Apakah yang dimaksudkan dengan taqwa dan bagaimanakah cara untuk mencapainya? Taqwa bukan setakat melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan.Bila disebut taqwa, orang terjemah sebagai takutkan Tuhan. Takut kepada Tuhan hanyalah satu daripada sifat mahmudah yang terangkum dalam sifat taqwa tetapi ia bukan taqwa. Takut dalam bahasa Arab ialah khauf atau khasya..Taqwa berasal dari perkataan waqa–yaqi–wiqoyah yang ertinya memelihara. Di dalam Al Quran, kerap Allah swt menyeru dengan kalimah ittaqu atau yattaqi. Di mana ada tambahan huruf pada asal kalimah waqa, ia membawa perubahan kepada makna.

Di sini ittaqullah membawa maksud hendaklah kamu mengambil Allah sebagai pemelihara atau pelindung..Sehubungan dengan perkara di atas, perkara yang disuruh sepanjang Ramadhan ialah membina sifat-sifat mahmudah. Mengumpul dan menyuburkan sifat-sifat mahmudah seperti taubat, syukur, ikhlas, sabar, redha, pemaaf, pemurah, zuhud, ingat mati dan lain-lain itulah usaha bagi menjadikan Allah itu sebagai pemelihara atau pelindung. Membina sifat-sifat mahmudah itulah usaha ke arah taqwa.

Manakala jalan untuk menyuburkan sifat mahmudah itu selain daripada berpuasa ialah melaksanakan pelbagai solat sunat termasuk solat taraweh, membanyakkan membaca dan tadabbur al-Qur’an, meningkatkan infaq dan derma, membantu orang yang dalam kesusahan, bertaubat, berzikir, berdoa dan lain-lain amalan soleh.

Mudah-mudahan puasa pada kali ini dalam suasana pandemik covid-19 dan PKP akan menjadikan puasa kita lebih bermakna, meningkatkan pelbagai bentuk amalan soleh, meneguhkan sifat-sifat mahmudah dan akhirnya dengan izin dan rahmat Allah meningkatkan ketaqwaan kita..Selamat menyambut bulan ramadhan al mubarak dan selamat berpuasa.

Dr. Sr. Abdul Hakim bin Mohammed

Ketua Eksekutif, KTD