• Call us: 09-774 7200
  • info@ktd.edu.my

TAQWA UNTUK KEJAYAAN

Search Courses

Perutusan Ketua Eksekutif bersempena Hari Raya Eidil Fitri 1441, untuk Warga Kolej Teknologi Darulnaim, Pengkalan Chepa, Kelantan

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilham

Saudara dan saudari warga KTD yang dimuliakan Allah swt

Alhamdulillah, segala puja dan puji serta penuh rasa syukur kita panjatkan ke hadrat Allah swt yang dengan limpah rahmatNya kita dapat menunaikan puasa sepanjang bulan Ramadhan. Mudah-mudahan dengan puasa tersebut bertambahlah tingkatan taqwa kita dan juga dengan limpah rahmatNya, Allah swt mengampunkan segala dosa-dosa kita yang lepas sehingga kita kembali kepada fitrah.

Selawat dan salam buat junjungan besar Rasulullah saw, penutup dan penghulu semua Nabi, yang telah menyampaikan risalah Islam yang suci kepada kita, para sahabat baginda dan mereka yang menuruti jejak langkah baginda Rasulullah saw sehinggalah ke hari kiamat.

Kini bulan Ramadhan 1441, meninggalkan kita. Kita menyambut kedatangan Syawal dengan penuh rasa kegembiraan dan kesyukuran. Walaupun seluruh dunia sedang dicengkam oleh pandemik covid-19, namun keadaan tersebut tidak menghalang kita daripada melaksanakan kewajipan berpuasa dan seterusnya menyambut ketibaan Syawal pada tahun ini.

Di samping kegembiraan kita menyambut Syawal, kita jangan lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik dan sedang diuji dengan pelbagai bentuk kesusahan dan penderitaan terutama dalam suasana wabak covid-19 sekarang ini. Oleh kerana itu, marilah kita bersama-sama terus menghulurkan bantuan banyak atau sedikit kepada mereka melalui pelbagai saluran yang telah disediakan oleh pelbagai pihak yang prihatin.

Saudara dan saudari warga KTD yang dimuliakan

Tujuan utama kita diwajibkan berpuasa di bulan Ramadhan selama sebulan ialah untuk meraih atau meningkatkan darjat taqwa kita sebagaimana firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud, ‘Wahai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana orang yang terdahulu mudah-mudahan kamu bertaqwa’.

Bulan Ramadhan adalah medan yang Allah swt sediakan, di mana nafsu dikekang bagi membolehkan orang yang beriman melipat-gandakan usaha untuk membina sifat-sifat mahmudah atau terpuji dan pada masa yang sama membersihkan hati daripada sifat-sifat mazmumah atau yang keji.

Untuk berjaya di dunia dan di akhirat, kita perlukan banyak sifat-sifat mahmudah antaranya merasai hakikat kehambaan terhadap Allah swt, ikhlas kerana Allah dalam segala urusan, hanya mengharapkan balasan daripada Allah, bersangka baik terhadap orang lain, jujur dalam melaksanakan amanah, bersungguh-sungguh dalam bekerja, bersabar dalam menghadapi masalah, mempunyai hubungan baik dengan semua orang, redha dengan ujian Allah swt, sentiasa memohon pertolongan Allah swt dan banyak lagi.

Begitulah sebaliknya, untuk berjaya di dunia dan di akhirat, kita perlu tinggalkan semua sifat-sifat yang mazmumah seperti mempunyai niat buruk yang tersembunyi dalam urusannya, bersangka buruk terhadap orang lain, khianat dalam melaksanakan amanah, malas dan sambil lewa masa bekerja, cepat marah walaupun perkara yang kecil, mempunyai banyak musuh, lupa kepada Allah, tidak redha dengan ketentuan Allah, tidak berdoa kepada Allah dan banyak lagi.

Saudara dan saudari yang dihormati

Seruan Allah swt supaya orang yang beriman bertaqwa bukan sekadar di bulan Ramadhan. Banyak ayat-ayat al-Qur’an yang lain yang menyeru orang yang beriman untuk bertaqwa.

Allah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 197 yang bermaksud, ‘Dan carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah taqwa, dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang yang berakal’.

Sebenarnya banyak lagi ayat-ayat Qur’an yang menyeru manusia kepada sifat taqwa. Hakikatnya, sifat taqwa ini perlu sentiasa di jaga dan ditingkatkan. Taqwa inilah yang sepatutnya menjadi tujuan utama kita dalam melaksana dan menyelesaikan pelbagai aktiviti dan tanggungjawab.

Sebagai pelajar, kita perlu belajar dengan rasa taqwa. Sebagai pekerja, kita bekerja dengan rasa taqwa. Sebagai peniaga, kita berniaga dengan rasa taqwa. Sebagai pemimpin, kita memimpin dengan rasa taqwa. Sebagai ahli pasukan, kita menjalankan peranan dengan rasa taqwa. Sebagai rakan, kita membantu rakan kita dengan rasa taqwa. Begitulah seterusnya dalam segala urusan dan perkara yang kita lakukan semuanya hendaklah di atas dasar taqwa.

Seandainya proses menjaga rasa taqwa berterusan dalam kehidupan kita, maka sudah pasti sifat-sifat mahmudah semakin kukuh dan sifat-sifat mazmumah semakin hilang. Dalam keadaan seperti inilah taqwa akan menjadi pemelihara dan perisai daripada segala godaan dunia dan kemaksiatan, dan seterusnya kita menjadi hamba Allah swt yang menjaga segala perintah dan larangan Allah swt dengan penuh berhati-hati.

Dalam keadaan taqwa seperti di atas, Allah swt menjanjikan jalan keluar daripada masalah, rezeki dari arah tidak disangka-sangka, dipermudahkan urusan dan balasan syurga di akhirat nanti.

Janji-janji Allah swt di atas terdapat dalam ayat-ayat al-Qur’an yang selalu kita baca, antaranya seperti berikut:

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Allah berikan baginya jalan keluar dan Allah akan berikan rezeki kepadanya dari arah yang tidak dia sangka-sangka.” (Surah At-Thalaq : Ayat 2-3).

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Allah jadikan baginya kemudahan dalam urusannya.” (Surah At-Thalaq: Ayat 4).

“Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertaqwa.” (Surah Maryam: Ayat 63)

Dan bergegaslah kamu kepada ampunan dari Rabbmu dan kepada jannah yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Surah Ali ‘Imran: Ayat 133)

Sebenarnya terlalu banyak ayat-ayat al-Qur’an yang menjanjikan pelbagai kebaikan kepada mereka yang bertaqwa. Dengan taqwa Allah swt berjanji akan menjadikan kehidupan mereka di dunia sempurna dan sentiasa dalam lindunganNya dan menyediakan balasan syurga yang kekal abadi di akhirat nanti.

Saudara dan saudari yang dimuliakan

Kita akan meneruskan kehidupan selepas Ramadhan dengan rasa taqwa yang baru di tingkatkan. Dengan rasa taqwa yang lebih kuat, kita akan teruskan tugas di KTD. Mudah-mudahan, apabila kita berkhidmat dengan rasa taqwa yang tinggi, Allah swt akan memberi jalan keluar kepada masalah yang kita hadapi.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi pandangan tentang masa depan KTD selepas pandemik covid-19. Apa yang jelas ialah pandemik ini masih belum selesai dan dijangka mengambil masa yang agak panjang untuk selesai. Dengan yang demikian, kita perlu sama-sama merasai keperluan untuk bersedia menghadapi perubahan dalam cara kita bekerja.

InsyaAllah, pendaftaran pelajar baru akan bermula pada 31 Mei 2020 secara maya. Program memperkenalkan kolej, kemahiran belajar dan kemahiran insaniah juga akan dilaksanakan secara maya. Seterusnya, kelas akan turut dilaksanakan secara maya. Ini bermakna mahu atau tidak mahu kita perlu berdepan dengan realiti baru iaitu penggunaan internet secara intensif dalam perlaksanaan program dan urusan lain di KTD.

Dengan perubahan di atas, dan dengan mengambil kira kecenderungan remaja yang gemar dengan permainan dan video di alam maya, kita perlu menyediakan kaedah penyampaian digital yang sesuai dan dapat menarik minat pelajar. Sehubungan dengan itu, kita perlu meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan untuk menggunakan internet secara efektif dan efisyen dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang kita sediakan.

Banyk tips yang staf akademik boleh pelajari daripada pelbagai sumber secara maya untuk menambah pengetahuan dan penguasaan terhadap pengajaran dan pembelajaran secara maya.

Sebenarnya bukan hanya unit akademik yang perlu menguasai kompetensi internet, tetapi semua unit turut terlibat. Unit pemasaran dan pengambilan pelajar perlu memperkasakan penjenamaan KTD dan aktiviti pemasaran secara maya. Pelbagai pengetahuan pemsaran secara maya perlu dipelajari dan dikuasai.

Unit dana juga perlu memperkasakan kaedah penjanaan pendapatan dan sumbangan secara maya. Di samping mempromosikan tabung kebajikan, berusaha mendapatkan ‘CSR’ dan merealisasikan ‘crowd-funding’, unit dana perlu meneroka kaedah-kaedah lain termasuk menjalankan perniagaan sebagai ‘distributor’ secara maya.

Unit kewangan pula, selain daripada menguruskan hal-ehwal kewangan, perlu sentiasa up-to-date memberikan laporan seperti jumlah kutipan serta jumlah penggunaan untuk setiap tabung yang diwujudkan. Penderma biasanya ingin tahu ke mana wang yang mereka berikan telah digunakan.

Unit hal-ehwal pelajar perlu memikirkan bagaimana cara untuk menguruskan kebajikan pelajar yang tidak berada di kampus. Apakah program maya yang dapat membantu pelajar untuk terus minat belajar dan bermotivasi tinggi. Kaunseling dan komunikasi berkesan perlu disediakan oleh unit hep.

Unit pembangunan insan perlu memikirkan kaedah untuk membuat pengisian tarbiyah secara dinamik dan interaktif. Kaedah penyampaian ceramah semata-mata akan menjadikan pelajar cepat bosan dan tidak berkesan. Cara-cara lain seperti bentuk permainan, forum, video, dan lain-lain perlu disediakan untuk memastikan objektif Pesat tercapai.

Unit infrastruktur perlu melihat keperluan fasiliti termasuk peralatan fizikal dan perisian yang sesuai dengan kos yang munasabah. Seboleh-bolehnya kita menggunakan peralatan dan perisian yang terkini dan terkedepan.

Akhirnya, pejabat pendaftar yang menguruskan pembangunan sumber manusia perlu melihat keperluan latihan sama ada daripada segi kursus-kursus jangka pendek ataupun latihan industri di mana staf KTD berada di premis rakan kongsi industri untuk mendapatkan pengalaman.

Sehubungan dengan perkara di atas, saya menyeru semua kakitangan KTD termasuk diri saya sendiri untuk meneruskan khidmat di KTD dengan penuh rasa taqwa. Kita hadapi tugas pengajaran, pentadbiran dan pengurusan yang berorientasikan kaedah maya ini dengan berdasarkan taqwa. Ini bermakna, kita perlu merasai keperluan untuk belajar, bekerja dengan tekun, sabar dengan perkara baru, sentiasa meminta nasihat dan pandangan orang yang lebih tahu dan sentiasa memohon bantuan serta pertolongan Allah swt.

Insyaallah apabila kita bekerja dengan bermatlamatkan taqwa kita tidak akan pernah rasa kecewa. Ini kerana kita bekerja untuk sesuatu yang lebih tinggi dan lebih besar tujuannya. Dengan rasa taqwa kita merasai bantuan Allah swt sentiasa bersama kita serta kita mengingati janji Allah swt untuk memberi kemenangan dan kejayaan di dunia serta anugerah yang besar iaitu syuga di akhirat nanti.

Marilah kita berdoa semoga Allah swt memberikan kita kekuatan untuk berfikir dan bekerja kerana Allah, memberikan rasa kasih sayang, persaudaraan dan kesatuan antara kita dan memberikan jalan keluar keluar dan penyelesaian terhadap pelbagai isu dan masalah yang kita hadapi sehingga kita mendapat kejayaan dan mampu menjadi sebuah kolej swasta yang berdaya saing.

Saya tutup dengan firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud, Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.”

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilham.

Wassalamualaikum wm wb.

1 Syawal 1441