• Call us: 09-787 9640
  • info@ktd.edu.my

Asia e University dan KTD Meterai MoU Perkasa Kerjasama Pendidikan, Perkenal APEL-Q

Search Courses

KOTA BHARU, 27 Ogos 2026 – Asia e University (AeU) dan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik serta memperluas peluang pendidikan dan pembangunan modal insan.

Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Dewan Besar KTD itu turut disusuli dengan Majlis Taklimat Accreditation of Prior Experiential Learning for Qualifications (APEL-Q), dengan mengangkat tema “Kerjasama Memacu Kecemerlangan”.

Hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah EQ Resources Sdn. Bhd., Dr. Abdullah @ Sudin bin Ab. Rahman; Vice Chancellor AeU, Profesor Dr. Noor Raihan Ab Hamid; Ketua Eksekutif KTD, Dr. Nik Kamaruzaman bin Hj. Abdullatiff; serta Timbalan Pengarah Akademik Yayasan Islam Kelantan (YIK), Hj. Sukeri bin Hussin.
Turut hadir Pengurus Kanan Perikatan Strategik AeU, Puan Hazrani bt. Hanafiah; Pendaftar KTD, Puan Malinda Ulfah Ariffin; serta wakil Institut Latihan Darul Naim (ILDAN), Ustazah Radin Seri Nabahah binti Ahmad Zabidi dan Dr. Lina Mastura binti Jusoh.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan Dr. Abdullah @ Sudin bin Ab. Rahman, diikuti ucapan oleh Profesor Dr. Noor Raihan Ab Hamid sebelum acara menandatangani dan pertukaran dokumen MoU antara kedua-dua institusi.

Kerjasama berkenaan mencerminkan komitmen AeU dan KTD untuk memperkasakan peluang pendidikan serta memacu kecemerlangan akademik dan latihan profesional, khususnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berdaya saing.
Acara turut diserikan dengan sesi fotografi rasmi yang melibatkan barisan kepimpinan kedua-dua institusi, wakil YIK, ILDAN dan tetamu jemputan.

Program kemudiannya diteruskan dengan Taklimat APEL-Q yang disampaikan oleh Puan Hazrani bt. Hanafiah bagi memberikan pencerahan berkaitan laluan pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu untuk tujuan kelayakan akademik.

Sesi taklimat turut membuka ruang kepada hadirin untuk mendapatkan penjelasan lanjut menerusi sesi soal jawab dan interaksi bersama agensi jemputan, termasuk wakil YIK dan ILDAN.
Kerjasama strategik antara AeU dan KTD diharap dapat membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk mendapatkan akses kepada pendidikan tinggi, di samping memperkukuh jaringan antara institusi pendidikan dan agensi berkaitan.

Majlis berakhir dengan jamuan ringan yang disediakan kepada para tetamu dan hadirin.
Sumber daripada Jabatan Pendaftar